Kemampuan intelek jamin sokongan: PM
. June 25th, 2012 . No Comments » . Berita, Melaka

SAMBUTAN HANGAT...Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disambut kira-kira 100,000 penduduk pada pelancaran Pusat Transformasi Bandar, Jalan Hang Tuah, bandar Melaka sempena Program Jelajah Janji Ditepati, semalam.
MELAKA TENGAH: Kerajaan mesti ada kemampuan intelek bagi melahirkan idea hebat untuk memastikan terus mendapat sokongan rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.
Persaingan di seluruh dunia pada hari ini membabitkan keupayaan untuk melahirkan idea yang bernas dan hebat.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama di negara di Jalan Hang Tuah di sini, yang terbukti memberi banyak kemudahan kepada rakyat, adalah antara idea hebat kerajaan.
Lebih membanggakan, UTC iaitu sebahagian daripada Strategi Lautan Biru, (NBOS) dilaksanakan dalam tempoh enam minggu selepas keputusan dibuat, sekali gus membuktikan kehebatan pelaksanaan idea yang baik.
“Dalam dunia hari ini, sesiapa mempunyai idea yang hebat, dia akan mendapat sokongan rakyat dan kita ada idea itu untuk membantu rakyat,” katanya.
Beliau berucap merasmikan UTC Melaka dan Jelajah Janji Ditepati yang dihadiri kira-kira 100,000 orang di sini, semalam. Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
UTC menempatkan 70 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan kepada orang ramai.
Pusat setempat itu menyediakan perkhidmatan di bawah 10 kluster termasuk kesihatan, keselamatan, pendidikan, latihan dan pekerjaan, kewangan dan pembangunan belia bermula jam 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.
UTC diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan kepada rakyat menerusi kerjasama strategik antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta dan NGO.
Najib berkata, idea hebat kerajaan terbukti dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif di dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Antaranya, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Menu Rakyat 1Malaysia serta Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC).
Perdana Menteri berkata, perubahan dalam perkhidmatan kerajaan yang berlaku dengan pesat menerusi pelbagai program sejak tiga tahun lalu membuktikan kerajaan menepati janji berdasarkan idea itu.
“Kita sudah lihat banyak perubahan dilakukan sejak tiga tahun lalu dan jika lima tahun lagi, sudah tentu lagi banyak perubahan yang akan berlaku.
“Yakinlah, jika kita berjanji, kita tepati dan akan terus berusaha membantu rakyat,” katanya sambil menempelak pakatan pembangkang yang gagal menunaikan janji.
Bercakap pada sidang media selepas itu, Najib berkata, pembinaan UTC Melaka mencatatkan rekod kerana berjaya disiapkan dengan pantas, iaitu dalam masa enam minggu selepas keputusan dibuat.
“Saya sudah buat kunjungan (ke UTC)… jabatan kerajaan dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 10 malam, tujuh hari seminggu,” katanya.
Menjawab soalan, Najib berkata, UTC kedua akan dibuka di Pudu Sentral, Kuala Lumpur sebelum diperluaskan ke seluruh negara tidak lama lagi.



















