Archive for Taiping

Galeri Taiping

. June 19th, 2012 . No Comments » . Galeri, Taiping

Gambar-gambar yang sempat di rakam sewaktu siri Jelajah Janji Ditepati di Taiping

Hadiah untuk bapa tunggal

. June 18th, 2012 . No Comments » . Berita, Taiping

TAIPING: Bapa tunggal di seluruh negara menerima ‘hadiah istimewa’ sempena Hari Bapa disambut semalam apabila 266,000 baucar saringan kesihatan bakal diagihkan kepada mereka.

Agihan baucar itu diserahkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada beberapa wakil bapa sempena program Jelajah Janji Ditepati (JJD) peringkat negeri Perak di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Kamunting, di sini semalam.

Muhyiddin yang menyerahkan baucar itu ketika melawat gerai pameran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berkata, beliau ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa di negara ini.

“Hari ini 17 Jun adalah Hari Bapa. Saya ambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Bapa dan terima kasih kepada semua bapa kerana berkorban menjaga keluarga masing-masing,” katanya.

Penyerahan baucar berkenaan dilakukan sempena pelancaran Gerakan 1Malaysia Utamakan Keluarga (1-MFF) diperkenalkan LPPKN bertujuan meletakkan perspektif keluarga dalam segala usaha perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi negara.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapannya ketika berucap merasmikan JJD berkata, kehadiran 70,000 pengunjung pada program JJD membuktikan sokongan berterusan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, program dianjurkan itu sedikit sebanyak memberi sokongan besar dan kuat terhadap kepimpinan Perdana Menteri untuk membawa Malaysia ke arah lebih cemerlang.

Harian Metro Online

Muhyiddin lancar Gerakan 1Malaysia Utamakan Keluarga

. June 18th, 2012 . No Comments » . Berita, Taiping

TAIPING: Hari Bapa semalam turut diraikan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila melancarkan Gerakan 1Malaysia Utamakan Keluarga di khemah pameran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada program Jelajah Janji Ditepati (JJD), di sini.

Program bertemakan ‘Bapa Prihatin, Keluarga Terpimpin’ itu bertujuan menghargai pengorbanan bapa di seluruh negara dalam membentuk anak berakhlak tinggi dan berilmu pengetahuan.

Muhyiddin melancarkannya sejurus selepas merasmikan program JJD anjuran Media Prima Bhd di padang Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ASDEC) Taiping, di Kamunting Raya, di sini semalam.

Beliau yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie menyampaikan baucar cek bernilai RM266,000 kepada wakil bapa.

Muhyiddin turut menyampaikan bantuan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) kepada 10 wakil bapa tunggal dan bantuan Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) kepada sembilan penerima disenaraikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majlis turut diserikan dengan acara memotong kek dan menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir Bapa secara beramai-ramai.

Terdahulu, berucap pada perasmian program JJD di depan kira-kira 70,000 hadirin, Muhyiddin mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Bapa kepada hadirin.

Katanya, jasa dan pengorbanan bapa dalam membentuk anak berakhlak tinggi dan menyediakan pelajaran untuk mereka sememangnya tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Sumber: Berita Harian

Pelbagai maklumat ditimba

. June 18th, 2012 . No Comments » . Berita, Taiping

TAIPING: Program Jelajah Janji Ditepati (JJD) di padang Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping, Kamunting Raya, meninggalkan kenangan manis kepada pengunjung berikutan pelbagai maklumat ditimba, selain dapat bersua muka dengan Timbalan Perdana Menteri.

Kira-kira 70,000 hadirin dari daerah ini dan daerah berhampiran tidak melepaskan peluang untuk mempertajam pengetahuan mengenai pelbagai dasar kerajaan Barisan Nasional (BN), terutama program transformasi diilhamkan Datuk Seri Najib Razak.

Peluang mendengar amanat Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terus pada ucapan perasmian membolehkan mereka bukan setakat memahami dasar kerajaan, malah meningkatkan keyakinan mereka terhadap kemampuan BN.

Bagi Mohd Najib Jaafar, 64, yang cacat penglihatan, meskipun tidak dapat menatap wajah Muhyiddin, amanat disampaikan beliau sedikit sebanyak menjawab pelbagai persoalan mengenai program transformasi.

“Saya puas mendengar penjelasan Timbalan Perdana Menteri. Saya akan menyampaikannya kepada rakan lain. Saya datang dari Kulim semata-mata untuk mendengar penjelasan Tan Sri (Muhyiddin) kerana saya rasa terhutang budi kepada kerajaan yang membantu saya melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Bagi Zakiah Mohd, 55, dari Parit Buntar, penjelasan diberikan pegawai pelbagai agensi kerajaan pada pameran berkenaan meningkatkan kefahamannya mengenai jasa BN memajukan negara.

“Sebagai suri rumah, saya berkesempatan membeli barangan murah di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang disediakan di sini. Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu meringankan beban keluarga saya,” katanya.

Bagi Azli Othman, 27, dari Pendang, Kedah, program JJD bukan setakat menjelaskan mengenai pelbagai program transformasi, malah mendekatkan golongan muda kepada BN.

“Sebelum ini, saya hanya membaca mengenai program transformasi di akhbar, tetapi hari ini saya mendengarnya secara terus daripada Timbalan Perdana Menteri.

“Saya harap program ini diteruskan di tempat lain untuk menarik kehadiran lebih ramai belia yang akan menggunakan kuasa mereka pada pilihan raya nanti,” katanya.

Mohd Daniel Haziq Abdullah, 33, dari Kamunting, berkata JJD memberi peluang untuk beliau mendengar penjelasan pegawai kerajaan mengenai beberapa aspek yang tidak difahaminya.

“Saya dapat lihat sokongan rakyat kepada BN masih utuh. Saya yakin, jika program seperti ini diteruskan di tempat lain, BN akan terus diberi kepercayaan oleh rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Media Prima sebagai penganjur program berkenaan meneruskannya di negeri lain bagi memastikan lebih ramai rakyat memahami konsep transformasi dilaksanakan kerajaan.

Sumber: Berita Harian

Peluang rakyat temui pemimpin

. June 15th, 2012 . No Comments » . Berita, Taiping

KAMUNTING: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan merasmikan Program Jelajah Janji Ditepati (JJD) di padang Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kamunting di sini, Ahad ini.

Beliau dijangka tiba di ADTEC kira-kira jam 10.45 pagi dalam lawatan sehari ke sini yang dimulai dengan program `walkabout’ di pekan minggu Changkat Jering, diikuti lawatan ke gerai dan minum pagi bersama rakyat.

Selepas di ADTEC, Muhyiddin dijadualkan menunaikan solat Zuhur di Masjid Kurauwi di Batu Kurau, kira-kira 30 kilometer dari sini, sebelum menghadiri Jamuan Rakyat di Padang Astaka Batu Kurau bagi mengakhiri lawatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Datuk Mohamad Zahir Khalid, berkata pemilihan Kamunting sebagai destinasi JJD kali ini adalah satu penghormatan kepada penduduk kawasan berkenaan serta di sekitarnya termasuk di kawasan utara Perak.

Katanya, rakyat harus mengambil peluang itu untuk bersama pemimpin Kerajaan Pusat dan negeri bagi menghargai serta meraikan tradisi membela rakyat yang diamalkan selama ini.

“Kita berharap rakyat khususnya di Taiping, Bukit Gantang, Larut dan sekitar Perak Utara, menjadikan komitmen kerajaan menyelesaikan masalah rakyat ini dengan menghargainya dan turut serta memeriahkan program ini.

“Walaupun program diadakan di kawasan Kamunting, ia meliputi semua penduduk kawasan ini termasuk di Bukit Gantang, Taiping dan Batu Kurau, sekali gus membuktikan kerajaan tidak membezakan sesiapa dan berkhidmat untuk semua,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dijangka kira-kira 50,000 orang hadir pada program bermula seawal jam 8 pagi hingga jam 10 malam itu. Sebanyak 96 khemah ‘Arabian’ dibina di padang berkenaan, tambahan 10 khemah berbanding program sama diadakan di Kulim, Kedah, baru-baru ini, selain tujuh khemah berbentuk modular tertutup.

Mohamad Zahir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak berkata, program JJD ini susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turun padang ke utara Perak beberapa bulan lalu untuk melihat sendiri isu serta masalah rakyat di peringkat akar umbi.

Berita Harian Online

BR1M ringankan beban penduduk

. June 15th, 2012 . No Comments » . Berita, Taiping

KAMUNTING: Bersyukur menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Roshamimah Hassan, menyatakan hasrat bertemu pemimpin negara yang membolehkan dia sekeluarga menikmati pemberian itu.

Roshamimah, 43, ibu lima anak itu merasa bertuah kerana menerima BR1M yang dapat meringankan bebannya menanggung persekolahan dua anaknya, masing-masing di Tingkatan Empat dan Lima.

“Sepanjang hidup, saya tidak pernah bersua muka dengan pemimpin tertinggi negara. Jadi, kesempatan menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada program Jelajah Janji Ditepati (JJD) di sini Ahad ini, tidak akan saya lepaskan,” katanya ditemui di sini, semalam.

Suaminya, Ahmad Junid Shaharuddin, 49, berkata program itu peluang terbaik untuk rakyat bersemuka dengan pemimpin di peringkat Pusat.

Kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Kuala Kangsar berkata, ia juga dapat merapatkan lagi hubungan pemimpin dengan rakyat tanpa mengira usia dan kawasan.

Sementara itu, penjual buah-buahan, Wan Abdul Malik Wan Mohd Ali, berkata program JJD penting untuk memberitahu rakyat apa yang sudah kerajaan lakukan untuk kesejahteraan mereka.

Katanya, ramai rakyat tidak kisah atau enggan mengambil berat berhubung usaha dilakukan kerajaan selama ini untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Sumber: Berita Harian