Galeri Melaka
. June 26th, 2012 . No Comments » . Galeri, Melaka
Sekitar Jelajah Janji Ditepati di Melaka
. June 26th, 2012 . No Comments » . Galeri, Melaka
Sekitar Jelajah Janji Ditepati di Melaka
. June 25th, 2012 . No Comments » . Berita, Melaka

SAMBUTAN HANGAT...Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disambut kira-kira 100,000 penduduk pada pelancaran Pusat Transformasi Bandar, Jalan Hang Tuah, bandar Melaka sempena Program Jelajah Janji Ditepati, semalam.
MELAKA TENGAH: Kerajaan mesti ada kemampuan intelek bagi melahirkan idea hebat untuk memastikan terus mendapat sokongan rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.
Persaingan di seluruh dunia pada hari ini membabitkan keupayaan untuk melahirkan idea yang bernas dan hebat.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama di negara di Jalan Hang Tuah di sini, yang terbukti memberi banyak kemudahan kepada rakyat, adalah antara idea hebat kerajaan.
Lebih membanggakan, UTC iaitu sebahagian daripada Strategi Lautan Biru, (NBOS) dilaksanakan dalam tempoh enam minggu selepas keputusan dibuat, sekali gus membuktikan kehebatan pelaksanaan idea yang baik.
“Dalam dunia hari ini, sesiapa mempunyai idea yang hebat, dia akan mendapat sokongan rakyat dan kita ada idea itu untuk membantu rakyat,” katanya.
Beliau berucap merasmikan UTC Melaka dan Jelajah Janji Ditepati yang dihadiri kira-kira 100,000 orang di sini, semalam. Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
UTC menempatkan 70 agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan kepada orang ramai.
Pusat setempat itu menyediakan perkhidmatan di bawah 10 kluster termasuk kesihatan, keselamatan, pendidikan, latihan dan pekerjaan, kewangan dan pembangunan belia bermula jam 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.
UTC diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan kepada rakyat menerusi kerjasama strategik antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta sektor swasta dan NGO.
Najib berkata, idea hebat kerajaan terbukti dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif di dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Antaranya, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Menu Rakyat 1Malaysia serta Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC).
Perdana Menteri berkata, perubahan dalam perkhidmatan kerajaan yang berlaku dengan pesat menerusi pelbagai program sejak tiga tahun lalu membuktikan kerajaan menepati janji berdasarkan idea itu.
“Kita sudah lihat banyak perubahan dilakukan sejak tiga tahun lalu dan jika lima tahun lagi, sudah tentu lagi banyak perubahan yang akan berlaku.
“Yakinlah, jika kita berjanji, kita tepati dan akan terus berusaha membantu rakyat,” katanya sambil menempelak pakatan pembangkang yang gagal menunaikan janji.
Bercakap pada sidang media selepas itu, Najib berkata, pembinaan UTC Melaka mencatatkan rekod kerana berjaya disiapkan dengan pantas, iaitu dalam masa enam minggu selepas keputusan dibuat.
“Saya sudah buat kunjungan (ke UTC)… jabatan kerajaan dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 10 malam, tujuh hari seminggu,” katanya.
Menjawab soalan, Najib berkata, UTC kedua akan dibuka di Pudu Sentral, Kuala Lumpur sebelum diperluaskan ke seluruh negara tidak lama lagi.
. June 25th, 2012 . No Comments » . Berita, Melaka
MELAKA TENGAH: Kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Jalan Hang Tuah, di sini membuktikan kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan perkongsian pintar antara sektor awam dan swasta demi kepentingan rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata usaha itu ditambah dengan komitmen kerajaan menunaikan janji kepada rakyat menerusi penyediaan perkhidmatan lebih bermutu.
Pada masa sama, katanya, bagi mempertingkatkan daya saing dan capaian rakyat kepada perkhidmatan kerajaan dan swasta, pendekatan dilaksanakan di bangunan UTC bersifat komprehensif dan lebih menyeluruh.
“Kita (kerajaan) bukan seperti pembangkang yang ‘cakap tak serupa bikin.’ Mereka berjanji macam-macam, tapi satu pun tidak dilakukan seperti berlaku di empat negeri bawah kerajaan pembangkang.
“Sebaliknya, Perdana Menteri sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan melaksanakan pelbagai transformasi termasuk ekonomi, politik, pendidikan dan sosial demi kebaikan rakyat serta negara,” katanya pada majlis perasmian serentak UTC dan JJD oleh Datuk Seri Najib Razak, semalam.
Justeru, Mohd Ali berharap rakyat terutama di kawasan bandar terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan BN kerana pelbagai kemudahan disediakan untuk mereka dan terbaru adalah dengan kewujudan UTC.
“Kita yakin Perdana Menteri akan membawa lebih banyak kemakmuran kepada masyarakat bandar dan luar bandar jika rakyat memberi mandat besar kepada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Ali mengumumkan tiga permohonan projek infrastruktur jalan raya di Melaka di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) membabitkan kos keseluruhan RM1.432 bilion.
Projek itu ialah menaik taraf jalan empat lorong dari Kuala Linggi ke Telok Mas membabitkan kawasan Masjid Tanah, Sungai Udang, Klebang, Limbongan, Jalan Pantai dan Jambatan Syed Abdul Aziz bernilai RM760.92 juta.
Kedua, projek menaik taraf jalan dari Ayer Keroh ke Munshi Abdullah (RM427 juta) dan ketiga ialah projek membina dan menaik taraf jalan empat lorong Persimpangan Seri Negeri ke Bemban, Jasin dan Tangkak (fasa dua dan tiga) (RM200 juta).
“Saya mewakili kerajaan dan rakyat Melaka merayu kepada Perdana Menteri supaya meluluskan permohonan ini bagi menyediakan kemudahan jalan raya yang lebih baik dan berkualiti kepada rakyat dan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat di negeri ini,” katanya.
. June 25th, 2012 . No Comments » . Berita, Melaka
MELAKA TENGAH: Kira-kira 100,000 orang membanjiri Jalan Hang Tuah, di sini bagi meraikan program Jelajah Janji Ditepati (JJD) anjuran Media Prima Bhd, semalam.
Selain menyaksikan pelbagai pameran, pengunjung yang hadir seawal jam 8 pagi, berpeluang mendengar amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Meskipun terpaksa berpanas terik, mereka tidak melepaskan peluang mengunjungi ruang pameran oleh 26 agensi kerajaan dan tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Orang ramai juga sanggup berjalan kaki sejauh lebih satu kilometer ke tempat pameran untuk menemui Perdana Menteri, selain mendengar amanat pemimpin nombor satu negara itu.
Presiden Kelab Sukarelawan Sahabat Belia Negeri Melaka, Zaini Muhamad, berkata beliau teruja berjabat tangan dengan Perdana Menteri yang disifatkan mesra rakyat kerana sanggup turun padang walaupun sibuk.
“Saya teruja walaupun hari ini adalah kali ke-10 saya dapat bersalam dengan Perdana Menteri. Setiap kali beliau berkunjung ke negeri ini pasti peluang terbabit tidak akan saya lepaskan.
“Program JJD ini sangat berkesan menghimpunkan ribuan rakyat pelbagai kaum untuk bertemu pemimpin tertinggi, di samping dapat mengetahui pelbagai maklumat terkini,” katanya.
Pengunjung dari Taman Maju, Jasin, Amaravathi Munian, 58, berkata dia mengambil kesempatan membawa lima ahli keluarganya dan menikmati pelbagai juadah di gerai yang disediakan pada Majlis Jamuan Makan Rakyat.
Setiap ahli keluarganya menerima dua kupon bernilai RM10 seorang yang diberi kerajaan negeri dan pelbagai juadah dibeli termasuk nasi ayam, laksa, ayam goreng, buah-buahan dan minuman.
“Walaupun tidak berpeluang bersalam dengan Perdana Menteri, saya dapat melihat wajah beliau menerusi paparan skrin besar yang disediakan penganjur.
“Sudah tentu saya gembira berkunjung ke sini dan menikmati pelbagai juadah sempena Majlis Jamuan Makan Rakyat. Terima kasih kepada kerajaan yang menganjurkan program ini,” katanya.
Sumber: Berita Minggu
. June 25th, 2012 . No Comments » . Berita, Melaka
MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan menunaikan setiap janji diberikan dalam membantu rakyat berbilang bangsa di negara ini dengan pemberian pelbagai insentif dan bantuan.

MESRA... Najib yang ditemani Mohd Ali (dua dari kanan) bersarapan dengan orang ramai di Kompleks Pasar Besar, semalam.
Katanya, setiap janji ditunaikan, sekali gus menunjukkan kerajaan ikhlas dalam membantu rakyat.
“Kalau kita janji kita buat apa, kita akan tunaikan janji kita. Siapa janji BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), Barisan Nasional janji BR1M.
“Sebab itu bila saya pergi dekat gerai tadi (semalam) saya tanya, semua penjual senyum sebab perniagaan maju dan meriah. Saya pergi ke terminal bas pun meriah, Datuk Ali (Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam) kata ‘best in the world’ terminal itu. Saya boleh sahkan antara terbaik di dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati (JJM) dan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Mansor; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Mohammad Azlan Abdullah.
Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan, seramai 135,000 isi rumah di negeri ini memperoleh BR1M.
“Kita tunaikan janji kita dan bila tengok orang memerlukan rawatan kesihatan, kita buka Klinik 1Malaysia. Cuba bayangkan kalau dulu kita pergi swasta, sekali kita pergi RM30 sekurang-kurangnya. Sekali pergi Klinik 1Malaysia, seringgit (RM1) saja.
“Lepas tu kita ada KR1M (Kedai Rakyat 1Malaysia), di mana kita jual barangan antara 30 hingga 50 peratus lebih rendah daripada kedai biasa, ini membantu rakyat.
“Sebanyak 85 lagi KR1M seluruh negara akan kita wujudkan tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, dalam sidang medianya selepas majlis itu, Najib berkata, UTC lahir daripada percambahan fikiran melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi menempatkan jabatan dan agensi yang menjadi titik sentuhan kepada rakyat, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen.
Menurutnya, UTC akan menjadi satu mercu tanda perkhidmatan kerajaan yang terbaik kepada rakyat, khususnya penduduk bandar.
“UTC yang berkonsepkan mesra rakyat dengan menempatkan jabatan dan agensi pusat dan negeri di bawah satu bumbung akan memberi kepuasan kepada rakyat dalam berurusan dengan pihak kerajaan.
“Konsep ini berjaya dan memberi kepuasan tinggi kepada rakyat dan ini adalah contoh di mana kerajaan negeri dan pusat dapat menjalin kerjasama erat dan dapat menzahirkan satu konsep yang memberi kemudahan baik kepada rakyat,” katanya.