Muhyiddin lancar Gerakan 1Malaysia Utamakan Keluarga

. June 18th, 2012 . Berita, Taiping

TAIPING: Hari Bapa semalam turut diraikan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila melancarkan Gerakan 1Malaysia Utamakan Keluarga di khemah pameran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada program Jelajah Janji Ditepati (JJD), di sini.

Program bertemakan ‘Bapa Prihatin, Keluarga Terpimpin’ itu bertujuan menghargai pengorbanan bapa di seluruh negara dalam membentuk anak berakhlak tinggi dan berilmu pengetahuan.

Muhyiddin melancarkannya sejurus selepas merasmikan program JJD anjuran Media Prima Bhd di padang Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ASDEC) Taiping, di Kamunting Raya, di sini semalam.

Beliau yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie menyampaikan baucar cek bernilai RM266,000 kepada wakil bapa.

Muhyiddin turut menyampaikan bantuan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) kepada 10 wakil bapa tunggal dan bantuan Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) kepada sembilan penerima disenaraikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majlis turut diserikan dengan acara memotong kek dan menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir Bapa secara beramai-ramai.

Terdahulu, berucap pada perasmian program JJD di depan kira-kira 70,000 hadirin, Muhyiddin mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Bapa kepada hadirin.

Katanya, jasa dan pengorbanan bapa dalam membentuk anak berakhlak tinggi dan menyediakan pelajaran untuk mereka sememangnya tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply