‘Ikhlas bantu rakyat’

. June 25th, 2012 . Berita, Melaka

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan menunaikan setiap janji diberikan dalam membantu rakyat berbilang bangsa di negara ini dengan pemberian pelbagai insentif dan bantuan.

MESRA... Najib yang ditemani Mohd Ali (dua dari kanan) bersarapan dengan orang ramai di Kompleks Pasar Besar, semalam.

Katanya, setiap janji ditunaikan, sekali gus menunjukkan kerajaan ikhlas dalam membantu rakyat.

“Kalau kita janji kita buat apa, kita akan tunaikan janji kita. Siapa janji BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), Barisan Nasional janji BR1M.

“Sebab itu bila saya pergi dekat gerai tadi (semalam) saya tanya, semua penjual senyum sebab perniagaan maju dan meriah. Saya pergi ke terminal bas pun meriah, Datuk Ali (Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam) kata ‘best in the world’ terminal itu. Saya boleh sahkan antara terbaik di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati (JJM) dan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Mansor; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Mohammad Azlan Abdullah.

Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan, seramai 135,000 isi rumah di negeri ini memperoleh BR1M.

“Kita tunaikan janji kita dan bila tengok orang memerlukan rawatan kesihatan, kita buka Klinik 1Malaysia. Cuba bayangkan kalau dulu kita pergi swasta, sekali kita pergi RM30 sekurang-kurangnya. Sekali pergi Klinik 1Malaysia, seringgit (RM1) saja.

“Lepas tu kita ada KR1M (Kedai Rakyat 1Malaysia), di mana kita jual barangan antara 30 hingga 50 peratus lebih rendah daripada kedai biasa, ini membantu rakyat.

“Sebanyak 85 lagi KR1M seluruh negara akan kita wujudkan tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang medianya selepas majlis itu, Najib berkata, UTC lahir daripada percambahan fikiran melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi menempatkan jabatan dan agensi yang menjadi titik sentuhan kepada rakyat, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen.

Menurutnya, UTC akan menjadi satu mercu tanda perkhidmatan kerajaan yang terbaik kepada rakyat, khususnya penduduk bandar.

“UTC yang berkonsepkan mesra rakyat dengan menempatkan jabatan dan agensi pusat dan negeri di bawah satu bumbung akan memberi kepuasan kepada rakyat dalam berurusan dengan pihak kerajaan.

“Konsep ini berjaya dan memberi kepuasan tinggi kepada rakyat dan ini adalah contoh di mana kerajaan negeri dan pusat dapat menjalin kerjasama erat dan dapat menzahirkan satu konsep yang memberi kemudahan baik kepada rakyat,” katanya.

Harian Metro Online

Leave a Reply