100,000 orang banjiri Jelajah Janji Ditepati
. June 25th, 2012 . Berita, Melaka
MELAKA TENGAH: Kira-kira 100,000 orang membanjiri Jalan Hang Tuah, di sini bagi meraikan program Jelajah Janji Ditepati (JJD) anjuran Media Prima Bhd, semalam.
Selain menyaksikan pelbagai pameran, pengunjung yang hadir seawal jam 8 pagi, berpeluang mendengar amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Meskipun terpaksa berpanas terik, mereka tidak melepaskan peluang mengunjungi ruang pameran oleh 26 agensi kerajaan dan tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Orang ramai juga sanggup berjalan kaki sejauh lebih satu kilometer ke tempat pameran untuk menemui Perdana Menteri, selain mendengar amanat pemimpin nombor satu negara itu.
Presiden Kelab Sukarelawan Sahabat Belia Negeri Melaka, Zaini Muhamad, berkata beliau teruja berjabat tangan dengan Perdana Menteri yang disifatkan mesra rakyat kerana sanggup turun padang walaupun sibuk.
“Saya teruja walaupun hari ini adalah kali ke-10 saya dapat bersalam dengan Perdana Menteri. Setiap kali beliau berkunjung ke negeri ini pasti peluang terbabit tidak akan saya lepaskan.
“Program JJD ini sangat berkesan menghimpunkan ribuan rakyat pelbagai kaum untuk bertemu pemimpin tertinggi, di samping dapat mengetahui pelbagai maklumat terkini,” katanya.
Pengunjung dari Taman Maju, Jasin, Amaravathi Munian, 58, berkata dia mengambil kesempatan membawa lima ahli keluarganya dan menikmati pelbagai juadah di gerai yang disediakan pada Majlis Jamuan Makan Rakyat.
Setiap ahli keluarganya menerima dua kupon bernilai RM10 seorang yang diberi kerajaan negeri dan pelbagai juadah dibeli termasuk nasi ayam, laksa, ayam goreng, buah-buahan dan minuman.
“Walaupun tidak berpeluang bersalam dengan Perdana Menteri, saya dapat melihat wajah beliau menerusi paparan skrin besar yang disediakan penganjur.
“Sudah tentu saya gembira berkunjung ke sini dan menikmati pelbagai juadah sempena Majlis Jamuan Makan Rakyat. Terima kasih kepada kerajaan yang menganjurkan program ini,” katanya.
Sumber: Berita Minggu















